Rabu, 18 November 2009

SIMPATI KEMBOJA


Bumi Kemboja yang pernah terlibat dalam kancah peperangan kini dihuni sejumlah 1 juta umat Islam berbanding 16 juta rakyat negara itu. Ini menjadikan umat Islam di tanah yang terkenal dengan kerajaan Champa dulu sebagai masyarakat minoriti.
Menjejakkan kami di Phnom Penh kemudiannya berkelana lebih 150 kilometer dengan mengambil masa 3 jam, saya yang ditugaskan bersama krew Galeri Nasional TV1 menyertai misi Amal Persatuan Kebajikan Islam Kemboja bersama Persatuan Dakwah Islamiah Sedunia menuju ke Wilayah Kampung Cham.

Ternyata umat Islam di Kemboja perlu dibela, bantuan dalam pelbagai bentuk perlu disalurkan untuk mereka menjalani kehidupan di bumi yang kini bertatih untuk membangun.

Atas kesedaran itu bermula sejak tahun 2001 lagi persatuan ini mengatur pelbagai jenis bantuan yang diterima daripada rakyat Malaysia. Menariknya semua bantuan itu diagihkan terus ke peringkat akar umbi.

Misi yang dilakukan tiga minggu sebelum kehadiran Ramadan 2009 jelas memberi sinar baru buat umat Islam di Kemboja. Mereka menerima masjid baru hasil sumbangan rakyat Malaysia. Selain itu bantuan berjumlah lebih 70ribu turut diserahkan kepada lapan kampung di Kemboja.

Antara barangan yang diagihkan selepas dikumpul sejak enam bulan lalu termasuklah pakaian, naskah al-Quran dan Muqaddam, alat tulis, makanan seperti beras dan biskut, kain sarung, sejadah serta telekung untuk wanita.

Dua kampung yang diziarah pada misi hari pertama adalah kampung Phum Kbal Seh dan Kampung Phum Rong Ko di dalam Wilayah Kampong Cham. Masjid Arrahmah yang siap sepenuhnya dibina diKampung Phum Kbal Seh turut dirasmikan.

Kedatangan Ramadan kali ini memberi makna yang cukup mendalam buat umat Islam di Kemboja dan rakyat Malaysia yang sama-sama membantu mereka melalui sumbangan yang dihantar menerusi kapal laut dan diuruskan oleh Persatuan Kebajikan Islam Cambodia yang diperngrusikan oleh Ustaz Hassan Hussein Basri Tuan Ibrahim.

Misi kemudiannya diteruskan pada hari kedua dengan menjelajah pulan ke Wilayah Kandal. Kampung pertama yang diziarahi ialah Kampung Phum Svay Rolum. Lihat sendiri kehidupan mereka...

Tersentuh bila melihat lebih 30 keluarga di situ tinggal di dalam perahu, tidur makan, minum memasak semua di dalam perahu yang diikat di tebing sungai Pasak salah satu cabang Sungai Mekong.

Ada surau disediakan tetapi keadaannya sangat usang dan disinilah kanak-kanak dari masyarakat Cham yang terkenal sebagai golongan bijak pandai menimba ilmu.
Melihat kedaifan umat islam di kampung Phum Svay Rolum ini sebak rasa hati, bantuan yang sebegini tidak dapat merungkai masalah mereka, perlu ada satu kaedah lain supaya umat Islam di sini mempunyai kehidupan yang sempurna

Kampung Phun Svay Rolum ditinggalkan dengan penuh rasa tersentuh, berkelana terus ke Kampung Brain iaitu di seberang Sungai Pasak. Kali ini bot penambang yang mampu membawa ternakan dan kenderaan kami naiki untuk menyerahkan bantuan kepada penduduk
Misi bantuan sebelum menjelang Ramadan yang dilaksanakan ini bukan sekadar untuk membantu umat Islam di Cambodia tetapi mahu memastikan setiap sumbangan yang disalurkan oleh rakyat Malaysia sampai kepada golongan sasaran dan ada kepuasan pada setiap penyumbang.

Bagi penerima bantuan mereka memang sangat memerlukan sumbangan seperti itu terutamanya daripada rakyat Malaysia yang bermurah hati membantu sejak dulu lagi.
Sama seperti penduduk kampung Phum Svay Rolum, 80 keluarga di kg ini tinggal menumpang di tanah air sendiri. Rumah diperbuat daripada buluh dan kayu akasia manakala tanah disewa dari penduduk setempat. Tempat tinggal mereka di dalam perahu yang turut digunakan untuk mencari rezeki



Sebelum meninggalkan Kemboja pada hari ketiga, sempat lagi menziarahi dua kampong di wilayah Kampong Chenang.

Berbeza dengan kampung Phum Svay Rolum dan Kampung Prok Pro Theat, kampung-kampung ini nampak lebih baik tetapi umat Islam di sini tetap dahagakan bantuan dan sumbangan.

Apakah keadaan ini akan berterusan, sampai bila? Sebagai umat Islam yang lebih maju, rakyat Malaysia ada perancangan bagi membantu mereka.

kebanyakkan umat Islam di Kemboja adalah kaum Champa yang suatu ketika dulu terkenal dengan kehebatan dan kerajaan mereka. Bantuan demi bantuan disalurkan oleh rakyat Malaysia kepada mereka untuk memastikan masyarakat Islam di Cambodia akan dapat membina semua tamadun dan kecemerlangan mereka.