Selasa, 27 Oktober 2009

KAYAK MGBM KUALA PERLIS - SATUN 07




TEPAT jam 10.50 pagi waktu tempatan atau 9.50 pagi waktu Thailand, kita bersama 30 peserta Cabaran Kayak Rentas Sempadan dan Integrasi Belia Antarabangsa selamat tiba di Pulau Ban Kok Yau (Pulau Panjang) Wilayah Satun, Thailand.

Program anjuran Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila semua peserta tiba 2 jam lebih awal dari masa yang dijangkakan kerana kayuhan yang konsisten disamping bantuan angin barat.

Dengan kejayaan yang dicapai pada 15 Februari lalu itu, semua peserta yang diberi suntikan semangat oleh Presiden MGBM, Datuk Idris Haron membuktikan mereka mampu melaksanakan apa jua program mencabar termasuk berkayak merentas Selat Melaka dan laun Andaman dari Kuala Perlis ke Satun.

Lebih menarik lagi semua exco MGBM turut berkayak bagi membuktikan mereka bukan sahaja merancang dan melaksanakan program tetapi mampu bersama-sama ahli belia mengharungi cabaran berkayak di lautan yang kedalamanya mencecah hamper 10 meter.

Kita selaku Ketua Penerangan MGBM bersama-sama Timbalan Presiden MGBM, Abd Razak Abu, Setiausaha Agong MGBM, Mohd Nizam Omar dan Naib Presiden MGBM, Mahaniza Mahat walaupun pertama kali berkayak, tidak menghadapi masalah untuk menyahut cabaran itu.

Kayuhan bermula pada pukul 7.50 pagi dari Jeti Maritim Kuala Perlis dan sepanjang perjalanan peserta kayak diiringi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Pasukan Keselamatan Thailand.

Pasukan kayak yang diketuai Yuhanis Mohd Yunus itu dapat berkayak dengan baik dan tenang sepanjang perjalanan dan ini diakui sendiri oleh anggota pengiring yang terbabit dalam program berkenaan.

Baru 45 minit berkayuh peserta telah selamat tiba di Pulau Brasmana (sempadan antara Malaysia – Thailand) untuk berhenti rehat dan bertukar peserta kayak sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Ban Kok Yau.

Berbekalkan semangat Malaysia Boleh, Melaka Boleh dan MGMB Gemilang peserta meneruskan perjalanan dan akhirnya tiba di destinasi tanpa menghadapi apa-apa masalah sebelum solat Jumaat.

Cabaran getir yang terpaksa dilalui peserta sepanjang perjalanan termasuklah berhadapan dengan pelbagai jenis kapal, feri serta bot nelayan yang menggunakan laluan tersebut.

Setiap kali berselisih peserta kayak terpaksa berhenti dan kemudiannya perlu bijak mengendalikan kayak masing-masing untuk melawan ombak akibat laluan feri atau kapal besar, namun segalanya berjalan lancer dan kejayaan menawan Selat Melaka dan laut Andaman berkayak menjadi milik mereka.

Timbalan Presiden MGBM, Abd Razak Abu berkata, ini adalah pengalaman yang paling berharga buat dirinya serta semua peserta kerana pelbagai pengalaman dapat ditimba sepanjang program itu.

Katanya, selain berkayak peserta juga dapat melihat sendiri bagaimana perit jerih penduduk Pulau Bak Kok Yau menjalani kehidupan seharian dengan serba kekurangan termasuk tiada bekalan air dan elektrik yang sempurna.

Menurutnya, peserta berpeluang mandi menggunakan telaga, malah mereka dapat melihat sendiri penduduk menggunakan bekalan elektrik menggunakan tenaga solar selain mendiami rumah penduduk yang hanya dibina menggunakan kayu di atas air.

“Melalui program ini peserta berpeluang menilai sejauh mana hebatnya negara kita, jika kita menganggap ada rakyat Malaysia yang hidup susah tetapi umat Islam di Pulau Ban Kok Yau lali dengan kehidupan yang yang jauh ketinggalan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nizam berkata, program itu berjaya mencapai matlamatnya dan semua peserta dapat menimba pelbagai pengalaman yang berguna.

Katanya, hari pertama peserta menggunakan kenderaan awam keretapi dari KL Sentral ke Arau, kemudianya berkayak dan sebahagiannya pula menaiki tongkang ke Pulau Ban Kok Yau manakala pada hari ketiga mereka merasai pula menaiki bot pancong.

Ujarnya, pengalaman menaiki tiga jenis kenderaan, bermalam bersama keluarga angkat, melihat budaya masyarakat Melayu dan Islam di Satun, bersukan dan makan makanan Melayu Satun menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

“Ini semua menjadi pengalaman yang manis buat peserta apatah lagi apabila peserta berpeluang pula bertemu dengan Timbalan Gabenro Wilayah Satun, Chusak Maneechayongkoon atau Haji Kassim,” katanya.

Mohd Nizam berkata program itu akan diteruskan lagi pada masa depan dan hubungan silaturahim dengan penduduk Pulau Bak Kok Yau serta Satun akan dieratkan melalui Biro Belia secretariat Dunia Melayu Dunia Islam (SDMDI) pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan